Halaman

Khamis, 30 November 2006

memikirkan tentang perkara ghaib...yang menunggu mereka

di ciplak bulat-bulat dari sebuah buku bertajuk 'bekalan di dalam perjalanan dakawah' by mustafa masyur dan diterjemah oleh hj. mohd. tahir daeng mengati, terbitan pustaka salam.

diambil dari bab 5: memikirkan tentang perkara ghaib yang menunggu mereka. (pg84-96)

Ramai di kalangan manusia tidak mahu memikirkan perkara-perkara ghaib, enggan memikirkan sasaran matlamat kehidupan yang mereka lalui tanpa hentinya, kelak akhirnya, sama ada mahu atau tidak mahu mereka akan sampai juga ke sana. Mereka sibuk dengan urusan duniawi semata-mata. Seolah-olah perkara ghaib tidak perlu diambil perhatian, diberi perhitungan yang sungguh-sungguh, walhal itulah yang terpenting sekali untuk dititikberatkan, kerana perkara ini pasti akan ditemui dan dihadapi, malah hari demi hari kita semakin hampir kepadanya. Di sanalah kehidupan yang kekal abadi, itulah kehidupan yang hakiki. Di dalam kehidupan itu manusia dibahagikan kepada dua golongan, golongan pertama adalah ahli syurga yang penuh nikmat dan bahagia sementelah pula golongan kedua pula adalah ahli neraka yang penuh azab derita.

Adakah mereka meragui akan terjadinya dan waktu ketibaananya? Adakah kerana mereka tidak dapat merasanya dengan pancainderanya? Atau mungkinkah mereka telah tertipu dengan dunia? Ataupun mereka memang tidak mempercayainya? Kepada orang-orang seperti ini, perbaikilah iman mereka! Bertaubatlah bersungguh-sungguh sebelum luput masanya, supaya tidak menyesal di hari yang tidak berguan segala penyesalan. Sesungguhnya beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, beriman pada hari akhirat merupakan satu syarat yang mesti untuk menegakkan iman di dalam hati ,iman tidak akan bererti tanpa beriman kepada yang ghaib. Mengapakah kita tidak mahu beriman dengan penuh keyakinan, padahal Allah telah berfirman:
Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya yang dijanjikan itu adalah
benar-benar(akan terjadi) seperti perkataan yang kamu ucapkan.
( Az-Zariyaat:23)

Sikap tidak memperdulikan perkara ghaib ini adalah kelalaian dan kelekaan. Kerana sibuk dengan urusan dunia dan segala perhiasannya, manusia tidak sempat memikirkan hari akhirat dan perkara yang ghaib. Perkara ini menunggu mereka dan tanpa disedari mereka berjalan menghampirinya tanpa hentinya.

Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh, tidak kira siang ataupun malam cuba melepaskan diri kita dari ikatan kelalian dan kelekaan. Memikirkan perkara-perkara ghaib dan menghitungkan seolah-olah kita melalui dan mengalaminya. Kita hidup seolah-olah dalam sat kenyataan yang digambarkan oleh Alquran dan sunnah Arrasul. Dengan berbuat begitu, dapatlah kelak melahirkan penilaian yang hakikiterhadap perkara-perkara ghaib, lantas mendorong kita untuk beramal dan berusaha menurut ajaran islam dan membuat persediaan yang diperlukan untuk menghadapi perkara ghaib supaya kita mendapat kebahagiaan yang sebenarnya di sana nanti. Detik-detik alam ghaib itu bermula menurut detik-detik berikut; mati, masuk ke kubur, hidup di alam barzakh, pembangkitan dari kubur, berhimpun di padang mahsyar, menghadapi hisab(perhitungan), melalui sirat (titian yang terbentang antara neraka dan syurga), sebahagian jatuh dari jambatan itu tersungkur di dalam neraka dan sebahagian selamat melintasinya lantas masuk syurga.

5.1: sisa umur

Kita semua tidak tahu berapakah sisa umur kita yang masih tinggal, apakah masih panjang atau sudah pendek? Mampukah kita mempergunakan sisa umur kita ini untuk menurut dan taat titah perintah Allah s.w.t? Mampukah kita membuat sebanyak-banyak kebajikan dan amal saleh? Atau di dalam masa yang singkat ini kita terjerumus ke dalam lembah fitnah pesona, penyelewengan, kesesatan dan maksiat? Di dalam harap cemas, ras takut dan waspada serta bercampur rasa minat kepada Allah ini kita berusahalah dan berharaplah kepada Allah sepanjang masa ini. Ini boleh dijadikan pendorong yang kuat kepada kita, desakan yang mendalam untuk kita memenuhi baki umur dengan amal kebaikan dan pembersihan diri dan jiwa dari segala kufur dan mungkar. Semoga jadilah kita mukmin yang bertaqwa kepada Allah, Muslim yang hakki dan sejati bersih dari segala noda dan suci dari segala dosa. Kleak kita redha kepada Allah dan Allah redha kepada kita. Firman Allah:

Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu mescaya kamu
memperoleh (balasannya) di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan
yang paling besar pahalanya. (Al-Mu Zammil:20)

Untuk memikirkan tentang perkara ini, cubalah saudara duduk seorang diri dan bayangkanlah diri saudara, atau alah seorang dari sahabat saudara jatuh sakit lalu berubat dengan seorang doktor. Menurut penilitian doktor itu, penyakit itu boleh membawamaut dalam waktu enam bulan saja lagi. Si sakit pula yakin bahawa masanya juga sudah hampir. Ia terasa umurnya semakin berkurangan dari sehari ke sehari ,dari bulan berganti bulan. Bayanagkanlah bagaimanakah perasaan si sakit tadi jika sekiranya dia seorang yang beriman? Tidak syak lagi kita akan dapati, bahawa si sakit akan bersegera membuat segala kebaikan dan taat kepada Allah dengan segala kesungguhan dan keikhlasan setiap detik. Tidak membuang masa walaupun sesaat kepada perkara yang tidak berguna. Kita akan dapati si sakit tadi mengorbankan hartanya, segala usaha ikhtiarnya, buah fikirannya, tenaganya dan jiwa raganya bahkan segala yang ada padanya pada jalan Allah tanpa bimbang dan ragu malah dengan segala kemurahan hati. Saya kira si sakit tadi tidak berani untuk melakukan sebarang maksiat pun, bahkan tidak terbayang langsung di fikirannya untuk melakukannya ,tidak terlintas di hatinya untuk melakukan sebarang dosa. Bagaimanakah ia akan melakukan maksiat ,walhal dia tahu sedikit masa lagi ia akan menemui Allah ,bersedia utuk dihisab dan terus mendapat pembalasan di hari akhirat?

Saudara yang dikasihi,
Adakah di antara saudara yang berani mengatakan bahawa dirinya akan hidup hanya enam bulan lagi? atau beberapa hari sahaja lagi? atau akan mati beberapa jam lagi? Kenapakah kita enggan menghampirkan diri kita ke hal-hal yang demikian, kerana dengan itu boleh menimbulkan rasa kecintaan terhadap Allah, merindui pertemuan denganNya dan bersedia untukNya kerana ajal akan datang di luar jangkaan kita. Datangnya kadangkala dengan mengejut sekali dan tiba-tiba. Firman Allah;

Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui dengan pasti apa yang akan
diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang akan dapat mengetahui di
bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha
Mengenal. (Luqman:34)

Marilah kita pergunakan segala masa yang ada dengan melakukan amal saleh, kerjakanlah terus tapa tangguh, kerana dengan bertangguh, kemungkinan ada halangan yang menanti. Usahlah ditunggu-tunggu peluang yang baik sahaja datang kepada mu ,tetapi carilah dan usahakanlah peluang-peluang itu. Jadilah diri saudara termasuk golongan yang berlumba-lumba membuat kebaikan yang disebut oleh Allah dalam firmanNya:

Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan dan merekalah orang-
orang yang segera memperolehinya. (Al-Mukminun:61)

Kita lihat ramai orang yang merantau, bercekang mata tidak tidur malam, berusaha dan berpenat lelah encari kesenangan duniawi terkadang sehingga lupa diri, sibuk, lupa makan dan minum lantaran hatinya terlalu kuat untuk mencapai kemewahan duniawi. Mengapakah kita tidak mengambil pengajaran seperti ini untuk kita gunakan usaha yang gigih ini untuk berniaga dengan Allah yang tidak mungkin rugi. Ayuh! Bersegeralah ke arah usaha-usaha ini. Mnakan sama dua jenis perniagaan ini, manakan sama dua keuntungan ini!

Marilah saudara-saudaraku, kita sama-sama berusaha dengan gigih sekali, berbuat amal saleh dengan segala kemampuan kita semata-mata kerana Allah, semata-mata kerana taatkan titah perintahNya. Sentiasalah kita tegak dan lurus berjalan di jalanNya supaya kelak kita tidak menanggung hutang kepadaNya apabila maut datang memanggil. Pastikan! hutang-hutang kepada Allah telah dilunasi sebelum menemuiNya. Semoga di dalam pertemuan itu, hati kita aman dan sejahtera dan redha terhadap semua saudara kita kaum muslimin. Ketahuilah, sekurang-kurang darjah persaudaraan kerana Allah adalah selamat jiwa dan bersangka baik kepada kaum muslimin dan setinggi-tinggi darjahnya adalah mengutamakan kepentingan saudara kita di atas kepentingan saudara kita sendiri. Jananlah tidur satu malam pun kecuali saudar berada di dalam keadaan demikian.

Marilah kita bertaubat seberapa segera dan selalu memohon ampun dari Allah sebelum ajal maut menjemput kita kerana pintu taubat akan tertutup di saat nyawa akan dicabut. Saperti firman Allah:
Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang
mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan yang kemudian mereka bertaubat
dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan
Allah Maha Mangetahui lagi Maha Bijaksana. (An-Nisa':17)


5.2: tahap kematian

Tahap kematian merupakan batas pemisah diantara dua peringkat di dalam urusan perkara ghaib yang menuggu kita. Tiada siapapun dari kalangan kita yang meragui bahawa kita pasi akan mati. Dalam firman Allah:

Tiap-tiap diri akan merasai mati. (Ali Imran:185)

Tiada seorang pun yang dapat melarikan diri dari maut. Pun begitu kebanyakan manusia sering melupakan tentang maut ini seolah-olah mereka menganggap kematian itu untuk orang lain, bukan untuk mereka. Mengapakah jadi begini? Ini kerana mereka telah mabuk dengan dunia dan segala perhiasannya. Kita hendaklah sentiasa mengingatkan tentang maut ini dan sentiasa bersedia untuk menemui Allah dengan hati bersih dari segala dosa lahir dan batin.

Apabila seseorang yang sentiasa mengingati maut cuba digoda oleh syaitan untuk membuat maksiat, ia akan mengingat kematian boleh datang pada bil-bila masa. Dia tidak akana tergamak untuk mengakhiri hidupnya di waktu membuat dosa. Bagaimanakah ia akan menemui Tuhannya sedang ia bergelumang dengan dosa? Tidak syak lagi dengan mengingatikematian di waktu-waktu seperti itu akan menolong ia mengelak dari perdayaan syaitan ,menjauhkan dirinya dari maksiat lalu bertaubat terus menerus dan taat kepada Allah.

Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh supaya kita akan mati dalam keadaan berbuat baik dan taat mengikuti perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Oleh itu jadikanlah diri kita seorang yang sentiasa beristiqomah pada jalan siratulmustaqim dan menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah sehinggalah kita menemui Allah dalam keadaan kita redha dangan Allah dan Allah redha dengan kita.

Rasulullah s.a.w mengajarkan kita untuk selalu mengingati maut, seperti di dalam doa sewaktu hendak tidur, sewaktu bangun tidur dan di dalam lain-lain doa lagi. Orang yang beriman sentiasa berusaha supaya mati di waktu taat dan bertaqwa kepada Allah. Firman Allah:

Orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan
mengatakan kepada mereka "salamun alaikum" (selamat sejahteralah ke atas
kamu) masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang kamu
kerjakan. (Al-Nahl:32)

Saudara menangis tatkala saudara dilahirkan, padahal orang-orang di sekitar tertawa lantaran gembira menyambut kelahiran saudara, berusahalah supaya saudara bergembira tatkala saudar menemui Allah mereka menangis kerana saudara meninggalkan mereka. Sesungguhnya barangsiapa yang suka menemui Allah, Allah juga akan suka menemui mereka.

Jadikanlah kematian saudara pada jalan Allah, bahkan jadikanlah mati syahid itu cita-cita saudara yang paling tinggi. Berusahalah sugguh-sungguh supaya kematian saudar berubah menjadi kehidupan. Firman Allah:

Janganlah kamu sangka, orang-orang yang terbunuh pada jalan Allah itu mati
bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhan mereka, mereka diberi rezeki dan mereka
bergembira dengan apa yang diberikan allah kepada mereka. (Ali Imran:169)

Wahai saudaraku,
Ikatlah perjanjian jual beli dengan Allah sekiranya saudara belum berbuat demikian. Juallah diri dan harta kepada Allah untuk mendapat harga yang paling mahal iaitu syurga yang luasnya seperti langit dan bumi. Sekiranya ajal datang menjemput saudara setelah saudara membuat perjanjian itu, saudara akan berjaya dan mendapat harga yang paling mahal. Sekiranya umur saudara belum habis, sempurnakanlah janji saudara dengan Allah dan janganlah saudara ragu-ragu ataupun bakhil. Firman Allah:

Maka di antara kamu ada orang yang kikir dan sesiapa yang kikir
sesungguhnya dia hanya kikir kepada diri sendiri. Dan Allahlah
yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak
kepadaNya; dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan mengganti kamu
dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu ini.
(Muhammad:38)

Firmannya lagi:

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta
mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. (At-Taubat:111)


5.3: kubur dan kehidupan di alam barzakh

Saudaraku,
Marilah kita pergi menziarahi kubur di kala kita masih hidup, sebelum kita dimasukkan di situ semasa kita mati kelak. Janganlah kita dilekakan dengan perlumbaan melonggokkan harta dunia. Marilah kita ziarahi kubur untuk mengetahui dan mengenali kehidupan di dalamnya. Kita sediakan kubur untuk menyambut kita bukan dengan membuat tembok dan batu marmar yang cantik di atas kubur, kerana semua itu tidak berguna kepada kepada para penghuni kubur. Dalam lawaan kita moga-moga kita dapat mengambil iktibar dan pengajaran yang boleh mendorong kita selalu membuat amal soleh. Amal saleh inilah yang menjadi sahabat kita yang setia di dalam kubur. Amal-amal inilah nantinya yang merubah kubur yang sempit menjadi syurga yang luas aau menjadi lubang neraka yang penuh azab. Kehidupan di dalam kubur yang pendek itu seolah merupakan satu lawatan yang bersambung pula dengan hari kebangkitan dari kubur kemudian ke perhimpunan di padang mahsyar dan pembalasan. Benarlah firman Allah:

Bermegah-megahan telah melalaikan kamu. Sehingga kamu masuk ke kubur.
(At-Takathur:1-2)

Kita memang tidak mampu mengetahui tabiat kehiduapn di dalam kubur. Tidak syak lagi bahwa kehidupan di dalam kubur berbeza dengankehidupan di atas muka bumi, kerana ruh telah terpisah dari jasad yang fana ini. Apa yang telah tersebut di dalam Al-quran dan As-sunnah adalah merupakan bayangan sekitar kehidupan di dalam kubur. Para syuhada yang mati syahid sebenarnya hidup di sisi tuhan mereka dan diberi rezeki. Hanyalah Allah yang mengetahui hakikat hidup kubur. Oleh itu Rasulullah telah mengajarkan kepada kita supaya memohon perlindungan kepada Allah dari fitnah dan azab kubur. Al-quran telah mengingatkan kepada kita tentang kisah firaun dan keluarganya .Di mana Allah telah berfirman:

Kepada mereka dinampakkan neraka pada pagi dan petang, dan pada terjadinya
qiamat. Dikatakan kepada malaikat: "Masukkanlah firaun dan kaumnya ke
dalam azab yang sangat keras". ( Al-Mukmin:46)

Rasulullah telah memberitahu kita akan azab di dalam kubur. Riwayat dari Inu Abbas r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w semasa melalui dua buah kubur telah bersabda:

Dua orang ini disiksa di dalam kubur, keduanya disiksa bukan kerana dosa besar ,seorang daripadanya tidak bersih dari kencing dan yang kedua pula suka menjadi batu api, membawa mulut untuk melaga-lagakan di antara dua orang atau dua golongan. Hendaklah kamu selalu mengingati kubur dan kehidupan di dalamnya. Biasanya kita melihat seseorang di waktu pagi bersama keluarganya di rumahnya, tiba-tiba di waktu petang kita melihat dia dihantar ke kubur keseorangan.

Pada suatu hari seorang sahabat saya memberitahu pengalamnnya tatkala dia dimasukkan ke penjara yang gelap oleh tentera Taghut. Dia merasa seolah-olah di dalam kubur, menghadapi hisab dan pembalasan. Amalannya tidak dapat menjaminnya masuk syurga dan tidak dapat menyelamatkannya dari azab neraka. Di sana dia gemenar dan sangat takut, bercita-citalah dia supaya dihidupkan semula di dunia untuk taubat dan melakukan perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya. Setelah dia keluar, dia sedar bahawa itu semua adalah khayalan. Pun begitu dia melipatgandakan ketaatan kepada Allah dan memperbanyakkan amal baiknya, malah dia merasa puas hati menjadi penghuni penjara bertahun-tahun. Setelah keluar dari penjara semakin bertambah-tambah iman dan taqwanya kepada Allah. Penjara dan segala pengalaman pahit di sana menjadi sekolah baginya untuk menjadi hamba Allah yang soleh dan bertaqwa kepada Allah. Keadaan dirinya adalah lebih baik daripada sebelum dipenjarakan

Ini hanyalah merupakan lintasan fikiran tentang tahap-tahap perkara ghaib yang menunggu kita. Semoga dengan ini kita membacanya dan mengingatinya sentiasa supaya kita dapat lagi satu bekalan yang mampu memelihara dan menolong kita di sepanjang jalan dakwah di sepanjang kehidupan kita. Allah sahajalah pemberi pertolongan.


hmm.. moga kita sama-sama dapat mengambil pengajarannya..sentiasalah ingat mati..

Tiada ulasan: