Bismillah..
Dengan kemuliaan manusia itu dicipta.
Mulianya kerna memahami tanda dan makna. Hebatnya dia mengerti kereana membaca. Karamahnya kerna berhati serta berminda. Remehlah yang sebentar. Terjulanglah yang kekal.
Namun, dia tidak mampu selamanya begitu. Bersendirian suci bersih tanpa diganggu. Dia harus diuji demi menzahirkan bukti sebelum dinobat sebagai kekasih sejati. Si dalang dan si hitam pun datang bertamu. Bermulalah pertarungan antara dua regu. Syaitan dan nafsu, akal dan wahyu. Siapa akan menang, jiwa yang menjadi penentu.
Sayangnya, bila dihujani tusukan ujian, ternyata mulia tidak berhati kebal. Bila dicuba, terbukti ramai yang gagal. Bila diserang, ternyata insan itu dangkal. Gagal kerna menghina akal. Dangkal akibat meremehkan bekal. Sesat kerna dalam menimbang tidak cekal. Lemas kerana bodoh dan ungkal.
Hinalah yang mulia kerana angkuh. Rendahlah yang tinggi kerna gopoh. Sesatlah pengembara kerna tiada penyuluh. Binaslaah yang hebat bila rosaknya roh.
Namun manusia itu tiada mahu binasa. Kerna ingin kekallah, buah khuldi dirasa. Kerna dahulu manusia jasadnya tiada, maka bimbang binasanya tiada dirasa. Dapatlah ruh dan jiwa terus bertakhta. Namun bila disarungkan jasad dari tanah, bimbang binasa insan mula beralih arah. Tumpuannya kini adalah daging dan darah. Kalau dibiarkan tenggelam, akibatnya amatlah parah.
Ingatlah, jasad itu bagaikan harta. Ia wasilahnya tujuan. Namun keras usahanya untuk mencari tumpuan. Bila datangnya kaya, berputikla haloba. Bila ia tiada, berhentilah ia. Bila jasad ada, terciptalah benih sarakah. Sarakah berputik bila jasad di junjung dan disembah. Jasad dijunjung bila minda diinjak si amarah. Jasad disembah akibat hasutan sami‘? dalam jiwa. Ingatlah, jasad bagai jambatan yang tujuannya adalah wasilah. Ia bukan seperti bahagia, sang wasilahnya tujuan.
Ingatlah wahai manusia, kamu tidak boleh menanggalkan sendiri sarung jasad. Kerna manusia itu tidak boleh menentukan bila ujian harus tamat. Dibuang mati mak. Ditelan mati bapak.
Dengan nama Tuhanmu yang maha pengasih lagi maha penyayang, dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim terhadap hamba-hambaNya.
Wahai hamba-hambaKu, mari berikan tangan mu, ayuh disampingKu Ku pimpin tanganmu. Ku ajarkan kepadamu mengatasi onak dan liku. Kau hanya perlu menggerakkan kakimu
Wahai hambaKu, ketahuilah bahawa, cengkaman jasadmu harus kau longgarkan. Ruang kemahuan tubuhmu harus kau sempitkan. Barulah roh mu dapat mengecap kebebasan. Dapatlah ia terbang kepadaKu kembali dengan harapan. Selepas lama berpisah, kan dapat dirasa manis pertemuan.
Wahai hamba-hambaKu, kedua-dua kubu kuat dalam jasadmu harus kau tawan. Kubu yang bertembokkan alasan keperluan. Bertempat diantara dua peha dan dua geraham. Tentera kemestianmu harus menyergah tali barut keperluan. Ia harus disiasat dipersoal dan harus kekal dalam tawanan. Kerana keinginan seringkali bertopengkan keperluan. Ingat, kerana keinginan seringkali bertopengkan keperluan
Wahai hamba-hambaKu, mari berikan tangan mu, ayuh disampingKu Ku pimpin tanganmu. Ku ajarkan kepadamu mengatasi onak dan liku. Kau hanya perlu menggerakkan kakimu
Wahai kekasih-kekasihKu, jika dapat kau lakukan, maka kau nantikanlah ganjaran dariKu berlipat keuntungan. Pengorbananmu takkan Ku sia-siakan. Kerana sesungguhnya Akulah Al-hanan. Akulah Ar-rahman. Akulah Al-manan.
Sungguh curahan kasih Al-manan, tiada langit atau bumi yang akan mampu menampung walau dibantu langit dan bumi lain sekalipun. Sungguh manusia itu makhluk beruntung. Sungguh manusia itu makhluk beruntung. Sungguh rahmah Ar-rahim itu maha agung. Marah dan murkaNya tetap digantung kerna besar rahmahNya masih membendung.
Wahai kekasih-kekasihKu, ingatlah sesungguhnya bila kau melakukan kebaikan, kau melakukan kebaikan untuk dirimu sendiri. Kerajaan Ku tidak bertambah hebat kerna hebatnya ibadahmu. Dan keagunganKu tidak menjadi kurang kerana kealpaanmu. IzmahKu tiadakan pernah terganggu. IzzahKu akan terus kekal kerna kekalnya zatKu.
Sesungguhnya hari ini, adalah hari bukti. Hari kepulanganmu pada ciptaan asli. Latihan yang kau lalui akan menambah sakti, bekalan menempuh ranjau sebab hidup dan mati.
Wahai jiwa, kembalilah kau kepada fitrah. Selepas jasad kau tawan, selepas nafsu kau lawan. Selepas akal dan wahyu kau kahwinkan.
Wahai jiwa, kembalilah kau kepada fitrah. Fitrah yang ingin mengenaliKu. Fitrah yang ingin menyintaiKu. Fitrah yang ingin berlari mendakapKu. Jangan kau bisukan permintaannya. Jangan kau matikan harapannya. Berjuanglah terus demi memastikan suara-suara itu terus hidup. Berjuanglah terus demi memastikan suara-suara fitrahmu terus hidup. Teruskanlah perjuanganmu. Aku akan sentiasa berada disampingmu.
Ingat, tidak sekali-kali Ku yang meninggalkanmu. Engkaulah yang sering merasakan kehadiranKu menyusahkanmu. Namun sungguh rahmahKu maha agung. Marah dan murkaKu tetap Ku gantung kerana besar rahmahKu masih membendung. Bagai seorang ibu yang tiada kan sanggup membuang anak yang dikandung. Demikian rahmah seorang ibu. Ketahuilah rahmahKu jauh lebih agung. Ingatlah, rahmahKu jauh lebih agung.
Wahai hamba-hambaKu yang Ku kasihi. Ceritakanlah kepada mereka kisah kasih rahmah dan fitrah ini, rahmah agung bersaksikan langit dan bumi. Peringatan bagi yang masih berakal dan berhati, supaya diketahui sebabnya kehidupan ini.