Halaman

Khamis, 16 April 2009

Sultan Muhammad Al-Fateh

From Beca Sisters:

Setiap kali disoal mengenai tokoh idola kita, pasti sahaja nama-nama tokoh barat yg terlintas di benak fikiran. Hakikatnya, Islam itu sendiri telah banyak melahirkan tokoh-tokoh ternama yang memberikan sumbangan yang sangat besar kepada umat manusia. Berikut adalah kisah seorang tokoh Islam yang dikagumi ramai, bukan sahaja di kalangan umat Islam sendiri malah diakui juga oleh pihak barat.



Kisahnya bermula begini……

Sultan Muhammad Al Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 dan mangkat pada 3 Mei 1481. Detik kelahirannya pun sudah mengisyaratkan bahawa ia bakal menempa sejarah yang besar. Rasulullah S.A.W pernah bersabda maksudnya;



Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)



Kejayaan yang bakal ditempanya sudah dapat dirasai apabila berita kelahirannya disampaikan kepada ayahandanya-Sultan Murad, tepat ketika baginda sedang membaca Al-Quran pada ayat yang bermaksud;



“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.” [Al Fath: 1]



Semenjak dari kecil dia sudah diajar dan dididik dengan ilmu agama. Panglima-panglima tentera telah dijemput oleh ayahnya untuk mengajarnya ilmu peperangan. Bentuk badannya tegap, kuat dan tinggi. Pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung. Baginda merupakan cendekiawan ulung dizamannya dan sudah menjadi tradisinya mengumpulkan ulama-ulama untuk berbincang.



Sifatnya tenang, berani, sabar menanggung penderitaan, tegas dalam membuat sesuatu keputusan dan mempunyai kemampuan mengawal diri yang luar biasa. Kemampuannya dalam bidang pentadbiran dan pengurusan sangat menonjol.



Baginda sangat kuat menyimpan rahsia pemerintahannya sekalipun terhadap sahabat-sahabat dan saudara-saudaranya yang terdekat. Sultan Murad begitu menitik beratkan tarbiyah kepada anaknya. Hati anaknya telah ditempa dengan jiwa jihad dan ilmu peperangan semenjak kecil lagi. Dia tidak dimanjakan, walaupun beliau hidup dalam istana. Jiwa mujahid dan ‘abid berpadu sekali. Inilah merupakan ketua yang malamnya bagai rahib merintih pada Allah dan sangat kuat beribadah manakala siangnya bagaikan singa yang kuat berjuang.



Dengan tujuan mendidik, sewaktu berumur 16 tahun pernah Sultan Muhammad Al Fateh diberi kepercayaan oleh ayahandanya untuk memangku jawatannya sebagai pemerintah Turki semasa Sultan Murad pergi ke Pulau Magnesia untuk bersuluk. Beliau mula menduduki takhta pada masa umurnya 19 tahun. Di kala itu baginda sudah begitu arif mengenai tipu helah musuh. Di waktu itu Maharaja Kristian dari Konstantinopel telah mengirim guru-guru terbaik untuk mendidiknya tentang adab dan adat istiadat kehidupan raja-raja, beliau menyuruh guru-guru tersebut pulang sambil berkata “Haram hukumnya seorang Islam ditarbiyah oleh orang kafir.”



Sewaktu pemerintahannya juga, baginda membangunkan sebuah benteng yang dinamakan Rumeli Hisarri yang bermaksud benteng orang-orang Rom. Baginda sendiri membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga dengan itu ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut kerja juga. Melihatkan usaha Sultan Muhammad Al Fateh itu, gementarlah hati Kaisar, Maharaja Rom. Benteng tersebut siap dalam masa tiga bulan.



Dari benteng itu, dikawal dengan rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Dan dari situ juga beliau mempersiapkan kelengkapan untuk membebaskan Konstantinopel; cita-cita utamanya untuk merealisasikan hadis yang telah disabdakan Rasul tercinta 700 tahun sebelumnya.



Setelah persiapan taqwa dan kekuatan lahiriah telah mantap, peperangan dimulakan. Berbulan-bulan lamanya berlaku peperangan, namun belum tampak tanda-tanda kemenangan di pihak tentera Islam. Muhammad Al Fateh pun merujuk guru mursyidnya, Shamsudin Al Wali bilakah masanya benteng Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera Islam. Gurunya melalui firasat memberitahu: pada hari yang ke-53, hari Selasa… pukul 11.00 pagi.



Di sepanjang tempoh menunggu tersebut, kesemua tentera menghabiskan masa dengan perjuangan yang gigih di siang hari serta mempertingkatkan ibadah di malam hari. Pada hari yang diisyaratkan itu, Hassan Ulubate, seorang tentera Al Fateh merebut bintang sebagai syahid dengan melompat ke atas kubu musuh dan memacak bendera di situ. Beliau gugur demi membuka pintu kemenangan kepada sahabat-sahabatnya yang lain.



Akhirnya pada 29 Mei 1453, baginda berjaya menawan Konstantinopel. Beliau telah membuktikan kebenaran hadis Rasulullah. Konstantinopel telah ditukar nama kepada Islambol (Islam keseluruhan) yang mana kini dikenali dengan nama Istanbul. Sejarah mencatatkan bagaimana baginda menunjukkan sikap berlemah lembut dan bertoleransi yang sangat mengagumkan. Rakyat pada ketika itu diberi kebebasan untuk beragama. Semua gereja yang ada dikekalkan untuk Kaum Nasrani beribadah kecuali gereja Aya Sophia telah ditukarkan kepada masjid. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke mukanya dan terus sujud syukur apabila meraih kejayaan tersebut.



Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapakah selayaknya menjadi imam. Muhammad Al Fateh memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya untuk bangun dan baginda lantas berkata. “Siapa di antara kamu sejak balighnya hingga ke saat ini pernah meninggalkan sembahyang fardhu sila duduk!” Tiada seorang pun yang duduk, melambangkan tidak ada seorang pun di antara mereka yang pernah meninggalkan sembahyang fardhu.



Muhammad Al Fateh berkata lagi,

“Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan sembahyang sunat rawatib sila duduk!” sebahagian daripada tenteranya duduk.



Muhammad Al Fateh meneruskan lagi,

“Siapa di antara kamu yang sejak baligh hingga ini pernah meninggalkan sembahyang tahajud, sila duduk!” Kali ini seluruh tenteranya duduk, kecuali seorang.



Dia itu tidak lain tidak bukan ialah Muhammad Al Fateh sendiri. Dialah orang yang tidak pernah meninggalkan solat fardu, solat sunat Rawatib dan solat Tahajud sejak akil baligh. Inilah dia anak didikan Shamsuddin Al Wali dan dialah ketua yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w.



Semoga kisah hidup Sultan Muhammad Al-Fateh ini menjadi inspirasi kepada kita semua untuk menjadi seorang individu muslim yang soleh dan berjaya bukan sahaja di dunia, tapi juga di akhirat.

Tiada ulasan: