again, diciplak dari paksi.net..i took this cerpen bcoz, it tells us of the right way for us to solve problems regarding friendship. kite semua hidup berkawan n once in a while, kiter pasti lalui masalah yang seperti ini kan..dan slalunyer, kita jadi buntu dan hilang arah,,just like how i use to be.. enjoy reading..
Aku mengetuk pintu bilik Shira berkali-kali. Rasanya seperti mahu terlucut saja tangan-tanganku. Namun, tiada sebarang tindak balas selama lima minit aku di hadapan pintu biliknya. Kemarahanku semakin memuncak apabila aku terdengar bunyi radio dipasangkan dari dalam biliknya. “ Apa yang tak kena dengan si Shira ni?” Bisik hati kecilku. Melampau-lampau pula perangai dia sejak kebelakangan ini. Sudahlah tak bertegur sapa dengan orang, malah buat hal sendiri-sendiri. Apa guna nama sahabat satu halaqah, apa guna duduk satu rumah kalau nak buat sendiri-sendiri”,rungut hatiku lagi. Marahku sukar dibendung lagi. Aku mengetuk pintu Shira sekali lagi. Kali ini lebih kuat. Tapi masih belum mendapat jawapan daripada Shira. Suara radio semakin dikuatkan.
“ Shira…petang ni ada halaqah la. Aku nak tanya kau ni, kau nak pergi ke tak?” jeritku sambil mengetuk biliknya lagi.
“ Aku tak sihatlah. Aku tak pergi.”, akhirnya dia bersuara.
Aku menarik nafas panjang mendengar jawapan Shira. Kali ini sudah masuk tiga kali Shira ponteng halaqah. Akupun sudah pening memikirkan apa masalah sebenar yang berlaku ke atas diri Shira ni. Aku cuba untuk menyelami permasalahannya, tetapi dia seolah-olah tidak mahu berkongsi masalahnya denganku. Kadang-kadang aku terfikir “ Adakah aku ni masih belum mencapai kedudukan sebagai seorang sahabat yang benar-benar memahami sahabatnya, ataupun Shira memang tidak suka masalahnya diketahui ramai. Tapi sudah lupakah apa yang dia belajar dalam halaqah. Sahabat itu adalah cermin bagi sahabatnya. Setiap masalah perlu dikongsi dan diselesaikan bersama. Mungkinkah Shira kurang percaya dengan kami. Sahabat-sahabat satu halaqahnya. Lupakah juga bahawa sebarang cerita yang diceritakan dalam halaqah tidak boleh sama sekali dikeluarkan. Sudah lupakah Shira dengan semua itu. Tiba-tiba saja hatiku menjadi sebak. Rasa bersalah tiba-tiba muncul dalam diri. Mungkin juga aku yang bersalah kerana terlalu berkeras dengannya. Ah…setiap manusia ada kelemahannya. Tapi…halaqah itu sebenarnya akan mengajar kita memperbaiki segala kesilapan yang telah kita lakukan.
Jalisa dan Naemah ketawa terbahak-bahak mendengar cerita lucu Zakiah. Aku sekadar memerhatikan mereka sahaja tanpa sepatah kata. Akhirnya mereka berpaling ke arahku dan masing-masing memandang pelik melihat keadaanku hari ini. Kebiasaannya aku yang lebih riuh ketika bertemu. Tapi kali ini lain dari yang lain. Naemah menghampiriku lalu memegang tanganku perlahan-lahan.
“ Kenapa ni Abidah? Lain je aku tengok kau hari ni?”, Tanya Naemah lalu menggosok-gosok tanganku.
“ Ya la…Biasanya kau riuh dari kami, tapi hari ni kau diam seribu bahasa, kenapa wahai adindaku Abidah? Apakah yang telah membuatkan tuan hamba bermuram durja. Cuba khabarkan kepada beta, manalah tahu beta dapat menyelesaikannya”, Jalisa membuat lawak.
“ Apalah kau ni Lisa….Orang tengah sedih-sedih, kau boleh buat drama purba pula kat sini. Cuba kita salami apa masalah yang berlaku pada Abidah ni”, tegur Zakiah.
“ Aku lawakpun tak boleh. Ok…Ok”, balas Jalisa.Mereka semua memerhatikanku penuh erti. Kali ini lebih serius.
“ Sahabat-sahabat…Aku sedih memikirkan Shira. Hari ni aku ajak dia datang halaqah, dia tak nak datang. Dia kata dia tak sihat. Berkurung saja dalam bilik. Dah seminggu tak pergi kerja. Akupun tak tahu apa yang berlaku sebenarnya pada dia. Langsung tak nak cakap dengan aku. Jumpa je atau bertembung je dengan aku terus lari masuk bilik. Sakit hati aku. Seolah-olah aku ni bersalah dengan dia. Aku cuba cari kesalahan aku, tapi aku tak tahu kat mana silapnya. Macam mana nak hidup kalau duduk serumahpun tak nak bertegur sapa”, luahku sambil menitiskan air mata.
“ Tak pa….Kejap lagi masa halaqah bermula, kau cerita musykilah ni pada Kak Laila. Mungkin dia ada cara yang terbaik untuk kita selesaikan masalah ni.Banyakkan sabar ye Abidah. Akupun berkali-kali sms dia tanya khabar, tapi satu smspun dia tak balas”, pujuk Naemah.
Aku sekadar mengangguk.Terubat seketika kepeningan dan kegelisahan hatiku ketika bersama-sama sahabat-sahabat. Tidak dapat aku ceritakan betapa eratnya ikatan hati kami sehingga setiap masalah dikongsi dan diselesaikan bersama-sama. Kadang-kadang aku tidak sabar menanti setiap minggu pertemuan kami bersama. Tapi entahlah, kenapa Shira sukar meletakkan sepenuh hatinya dalam ikatan hati kami? Mungkin juga salah kami kerana sukar memahami tentang dirinya. Aku merenung kembali.
“ Ada apa-apa musykilah Abidah?” Tanya Kak Laila dengan sebuah senyuman, walaupun matanya nampak seperti keletihan. Namun, aku tahu istilah letih dalam diri Kak Laila terlalu jauh kalau dia mahu ungkitkan.
“ Saya tension akak.Saya tension dengan sikap Shira. Saya tak tahu apa salah saya sehinggakan muka saya ni sikitpun dia tak nak pandang. Macam mana saya nak hidup serumah dengan dia kalau berterusan macam ni. Sedih akak”, luah hatiku sambil menangis.
“ Sabar…Ini ujian sikit saja.Inilah ujian persahabatan yang perlu Abidah lalui. Sahabat-sahabat lain juga perlu peka dengan masalah ini dan minta sama-sama Bantu membantu antara satu sama lain. Shira ada masalah yang terlalu besar. Bukan masalahnya Abidah salah atau tidak dengan dia, tapi buat masa sekarang dia malu untuk berhadapan dengan sahabat-sahabat. Itu katanya. Kita doakan dia mudah-mudahan suatu hari hatinya akan menjadi lembut dan kembali bersama-sama dengan kita”, pujuk Kak Laila.
“ Tapi akak…masalahnya sekarang saya tinggal dengan dia. Macam mana saya nak tenang akak kalau dia macam tu”, rungutku lagi.
“ Abidah kena kuatkan semangat. Beri sedikit ruang pada dia untuk dia mencari dirinya sendiri. Buat masa ni, Abidah biarkan dia dahulu. Biar akak sahaja yang berhubung dengannya. Kita perlu beri masa padanya. Tapi ingat…hari ini Allah uji Shira…suatu hari mana tahu…Manusia ni lemah. Kadang-kadang kita diuji dengan titik kelemahan yang menyebabkan kita hampir rebah di medan dakwah ni. Sebab itu….kalau kita terus membiarkan titik kelemahan kita dikuasai oleh syaitan, sudah pasti kita akan terus jauh dari Allah. Ingatlah adik-adik…Allah itu maha pengasih dan maha penyayang, setiap ujian yang diberikan kepada kita sebenarnya adalah suatu tingkatan yang akan Allah berikan kepada kita untuk terus bersemangat dan tsabat di jalanNya. Hanya orang yang beruntung sahaja akan dipilih oleh Allah. Syurga Allah itu terlalu mahal adik-adik….Jadi, sabar itu penting….kerana orang-orang yang sabar sahaja mampu terus memegang amanah Allah ini. Amanah yang terlalu berat dan terlalu sukar”,nasihat Kak Laila yang membuatkan aku kembali semangat.
Aku berfikir seketika. Mungkin ini ujian yang Allah berikan pada Shira. Aku perlu bersemangat dan kuat untuk berhadapan dengan semua masalah ini. Mungkin ini hanya cebisan jika hendak dibandingkan dengan ujian yang pernah dihadapi oleh sahabat-sahabat dahulu.
“ Apapun yang penting kita doakan Shira”, kata Kak Laila sebelum mengakhiri pertemuan kami.
Aku pulang malam ini dengan suatu keazaman yang kuat. Aku tidak mahu terus mengalah dengan semua ini. Yang pasti doa untuk Shira itu ada. Aku rindukan gelak ketawa Shira yang dulu. Aku rindukan kemesraan yang dulu. Mungkin benar kata Kak Laila, berikan sedikit ruang untuk Shira mencari dirinya yang sebenar.
Aku mula hanyut dalam solat malamku. Bunyi unggas dan salakan anjing jelas kedengaran di telingaku.
“ Ya Allah…disepertiga malam ini aku sujud memohon keampunan daripadaMu. Ampunkanlah segala dosa-dosaku, dosa kedua ibu bapaku, adik beradikku, sahabat-sahabatku dan juga mukmin dan mukminah yang sentiasa sujud kepadaMu. Kau berilah petunjuk buat Shira. Kau tabahkan hatinya dalam menempuh ujianMu. Kembalilah dia kepada kami ya Allah, sesungguhnya aku rindu kasih sayangnya seperti dahulu. Sesungguhnya Kaulah Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang. Kau terimalah doaku ini”, ucapku dengan penuh linangan air mata. Selesai sahaja solat malamku, aku mencapai al Quran dan membaca serta mentadaburinya. Sungguh tenang dan lapang hatiku ketika ini. Suatu nikmat yang sukar digambarkan. Ya Allah….Kau bimbinglah aku, Kau didiklah aku. Jangan kau berpaling dariku walau sedikitpun kerana aku takut akan kemurkaanMu.
Pagi ini aku bangun dengan penuh ceria. Seolah-olah aku berasa duniaku hari ini penuh kegembiraan, penuh kebahagiaan. Ya Allah…inilah anugerah yang cukup bermakna buatku. Sesekali aku memandang bilik Shira. Ke mana dia hari ni. Sunyi sepi. Biasanya terdengar juga bunyi radio dari dalam biliknya. Moga dia selamat walau di mana dia berada.
SEMINGGU KEMUDIAN
Aku pulang dari kerja dalam keadaan yang agak letih. Banyak kerja yang aku siapkan hari. Rasanya seperti mahu sahaja merebahkan badan, tetapi bila memikirkan waktu maghrib semakin hampir, aku terus ke bilik. Aku mengeliat seketika di hujung katil lalu berjalan ke bilik air. Selesai sahaja mandi aku terus mencapai telekung. Aku terus hanyut dalam solatku. Tiba-tiba…pintuku diketuk. Aku terkejut dan terus bangun. Perlahan-lahan aku membuka pintu. Shira…????!!!
Shira terus meluru memelukku.
“ Abidah….Maafkan aku…Maafkan aku….Aku tahu aku salah. Tapi aku…”,tangis Shira dan memelukku lebih erat.
“ Sabar Shira. Cuba cerita satu persatu”, kataku sambil menepuk-nepuk bahunya.
“ Saya malu Abidah…..Saya malu….Saya banyak buat dosa pada awak. Saya banyak buat dosa pada sahabat-sahabat, pada Kak Laila. Maafkan saya…Saya tahu sahabat-sahabat semua risaukan saya. Saya tak tenang sebenarnya, saya sedih bila saya buat macam ni pada sahabat-sahabat. Saya lupa mereka semua sayangkan saya. Saya ikutkan perasaan, saya ikutkan hati”,tangis Shira.
“ Alhamdulillah….baguslah kalau macam tu. Biasalah Shira. Manusia semuanya melakukan kesilapan. Ini tandanya Allah sayangkan Shira. Sebab tu dia berikan kesedaran pada Shira”, kataku lagi.
Shira tersenyum dengan linangan air mata. Aku yakin, jika ikatan hati itu kuat dan berlandaskan Allah SWT, biarlah ujian yang berat melanda sekalipun, sudah pasti hati itu akan bertemu kembali. Yakinlah, ikatan hati kerana Allah pasti melahirkan ramai manusia yang kasih mengasihi dan cinta mencintai kerana Allah…bukan kerana lain.
so, hopefully dapat dijadikan renungan dan iktibar buat diri saya sendiri dan utk sesiapa shj yang membaca nih.. jagalah ukhuwah dan ikatan hati sesama rakan2 kita, dan orang2 tersayang..moga mendapat keredhaan dan keberkaan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. insya-allah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan